Pengajian pondok Syeikh_Junid_Thala

Dalam tahun 1927, Syeikh Juned telah mewujudkan suatu kelas pengajian di sebuah surau dekat rumahnya di Kampung Lalang, Padang Rengas.

Di Padang Rengas pengajian pondok telah dikenali sejak tahun 1850-an, yang didirikan oleh seorang ulama Haji Abdul Manan yang berasal dari Pesantren Ambal. Beliau lari dari pulau Jawa kerana menentang sistem kultur (sistem tanaman paksa) yang dikuatkuasakan oleh penjajah Belanda di pulau itu.Dalam usahanya ini beliau disokong oleh Tok Paduka Abdul Latif, seorang pembesar jajahan Kerian. Usaha beliau ini kemudian dilanjutkan oleh anaknya, Haji Nur. Kemudian digantikan oleh menantunya Haji Saleh. Apabila Haji Saleh meninggal dunia, maka pengajian pondok di Padang Rengas terhenti untuk seketika, sebab tidak ada tokoh yang dapat meneruskan usaha pengajian ini. Sampailah Syeikh Juned kemudiannya datang dan mengajar di Padang Rengas.

Pelajar pengajian Syeikh Juned terdiri daripada penduduk Kampung Lalang dan kampung di sekitarnya di dalam kawasan Padang Rengas. Ada bahagian untuk anak-anak dan ada bahagian untuk orang dewasa. Pengajian ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat kaum muslimin setempat. Kemudian pelajar dari luar Padang Rengas berdatangan, seperti dari Temoh, Teluk Intan, Bagan Serai, dan Parit. Memandangkan para pelajar semakin ramai, maka didirikanlah pondok penginapan. Tok Maharaja Indera Haji Syukri mewakafkan sebidang tanah untuk tapak pondok-pondok penginapan itu. Juga beliau mendapat sokongan daripada Haji Abdul Rahim yang di gelar Datuk Panglima Garang, Ketua Kampung Lalang pada ketika itu. Beliau juga mendapat bantuan daripada beberapa tokoh yang mendapat didikan agama di Timur Tengah dan juga daripada madrasah tempatan. Ke dalam kelompok ini termasuklah nama-nama Haji Usman Ahmad, Haji Abdul Aziz Yaakub, Haji Said, Haji Kasim, Haji Anjang Ahmad, dan Haji Ismail Moin. Juga beliau mendapat sokongan daripada Haji Mohd. Zain Abd. Majid, Haji Mohd Zain Noh, dan Abu Bakar. Daripada sebuah pengajian kampung dengan pesatnya ia berkembang menjadi sebuah pengajian pondok yang mendapat sambutan ramai daripada masyarakat Islam negeri Perak. Padang Rengas sekali lagi mengambil tempatnya sebagai pusat perkembangan pengetahuan Islam menyambung institusi pesantren yang dahulunya telah didirikan oleh Haji Abdul Manan.

Didesak oleh sambutan yang hangat terhadap pengajian pondok Syeikh Juned, maka dalam tahun 1930 didirikan sebuah Madrasah Arabiah Kampung Lalang. Sekolah ini terus berkembang pesat. Keadaan ini mendorong berdirinya sebuah madrasah yang lebih lengkap dan lebih teratur, dalam tahun 1931 dengan nama Madrasah Yahyawiah untuk mengambil alih tempat Madrasah Arabiah. Nama Yahyawiah diambil daripada nama Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, iaitu Datuk Andika Mior Yahya Mior Syamsuddin yang menjadi penaung madrasah itu yang telah memberikan sumbangan derma.

Oleh desakan yang kuat daripada masyarakat muslimin untuk membina suatu pengajian yang berasingan bagi pelajar perempuan, maka Syeikh Juned menaja pendirian sebuah lagi madrasah yang khas untuk pelajar puteri. Beliau sesungguhnya ingin memberi peluang yang sama kepada kaum perempuan untuk mendapat pelajaran. Semangat anti penjajahan yang ada di dalam dirinya tidak mengizinkan anak-anak muslim bersekolah di sekolah kerajaan yang mendidik mereka menjadi hamba British. Puteri-puteri beliau sendiri, Sakinah Syeikh Juned dan Habibah Syeikh Juned dihantar belajar ke Indonesia di Sekolah Diniah Puteri, Padang Panjang, Sumatera Barat, sebuah sekolah agama yang mengikuti aliran pembaharuan. Dan nama ini, Diniah Puteri, kemudian diambilnya untuk menamai madrasah puteri yang baru didirikan itu. Madrasah itu dirasmikan dalam tahun 1935.